Bismillahirrahmanirrahim..
Huhuh...it's been tooooo long I think.. i don't know why...or maybe i do? hmm..
[the article below was written for Ash-Shams April-May edition i think...but since it is too long, kene potong..so, i've decided to put the full one here..heheh..]
Sedang aku melangkahkan kakiku setapak demi setapak, kotak mindaku terbuka, melimpahkan peristiwa yang telah berlaku sepanjang semester ini. Seperti tayangan filem dulu-dulu; satu demi satu kejadian dimainkan. Keningku berkerut tanpa aku sedari.
Kesusahan, kepayahan menghadapi makhluk Allah yang putih dan kecil itu. Ya, tidak lain tidak bukan, salji. Waaah~! Putihnya~ Berkilat-kilat macam “gold dust”! Cantiknyaa~~! (muka tampak bahagia semacam). Begitulah gelagat manusia, pertama kali melihat dan mengalami salji itu sendiri. Setelah beberapa lama berjiran dengan salji, barulah kita tahu bahawa kecantikannya itu juga membawa pelbagai jenis masalah.
Angin musim bunga bertiup perlahan; bagaikan menyapa diriku yang sedang dalam lamunan. Secara spontan, bibirku mengukirkan senyuman. Teringatku kepada ribut salji yang menimpa bumi Nizhny tidak berapa lama dahulu. Salji yang turun lebat sehingga mencecah paras pinggang sungguh menguji kesabaran. Subhanallah.
Mungkin, bagiku semua itu susah. Berjalan mengangkat kaki tinggi-tinggi untuk meredah lautan salji yang tidak pernah hilang sejuknya; berdiri berjam-jam di dalam bas hanya untuk bergerak sejauh dua perhentian bas; memakai “baju belon” dan sarung tangan ketika berada di luar dan juga di dalam bilik. Menulis dengan memakai sarung tangan bukan senang. Susah. Sangat susah.
Kadang-kadang, semasa kita susah; kita terlupa, ramai lagi yang lebih susah daripada kita. Namun, hanya kesusahan kita sahaja yang dapat kita lihat. Seperti terdapat satu gunung tinggi di hadapan kita, yang menghalang kita daripada melihat gaung dan curam di sebaliknya.
Tika kita sibuk bergembira memerhatikan longgokan “gunung-gunung” salji di hadapan hostel yang kian mencair, kita digemparkan dengan berita gempa bumi yang terjadi di Jepun. Rakyat Jepun bagai jatuh ditimpa tangga apabila gempa bumi yang berskala richter 8.9 itu mengakibatkan kerosakan teruk atas pusat janakuasa nuklear Fukushima. Subhanallah .Benarlah firman Allah;
“Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya (dibuat) olehnya. Setiap orang mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya dan dia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya…..” - Surah Al-Baqarah; 2:286
Terkadang mukaku terasa panas, malu mengenangkan perkara-perkara yang kuanggap susah. Sangat susah. Adakah…adakah itu sahaja yang mampu aku hadapi? Pasir yang terhampar di bawah kakiku, dikuis-kuis. Kuteruskan perjalananku. Fikiranku dibiarkan terbang merayau-rayau.
Autumn,
Hampir-hampir sahaja luruh semangatku,
Bak daun-daunan yang layu dipijak bertalu-talu,
Merobek diri dari pelukan ibu,
Budak hingusan ini bergerak kaku,
Mengheretkan kaki satu-satu menuju ke pintu.
Kepalaku sekali-sekala ditoleh ke belakang,
Sebelum penglihatanku dihalang tiang,
Senyuman dan lambaian keluargaku sempat aku pandang,
“All the best! Belajar elok-elok! Selamat pergi tuan doktor!
semuanya kedengaran sayup berulang-ulang,
Setiap langkah tiba-tiba kurasakan mudah,
Semangatku sampai ke langit dapat dicecah,
Berbekalkan azam untuk kembali bersama ijazah.
Winter,
Hampir-hampir sahaja putih mataku,
Bak keping-kepingan salju bersih suci gebu,
Menggigil badanku menghirup udara yang membeku,
Kegelapan terasa seperti tidak pernah berlalu,
Langkah diorak ke kelas, langit itu gelap,
Usainya belajar, berlari-lari bas kukejar, langit masih malap.
Sampai bila langit hitam ini perlu kutatap?
Tanpa cahaya sinaran bintang, hatiku bagai disentap-sentap.
Tiba-tiba, mataku terasa berkaca. Pasir. “Itulah, main pasir lagi; kan dah masuk mata”, detik hatiku. Walaupun pandanganku agak kabur, entah mengapa; kakiku tetap melangkah. Perlahan.
Kugosok-gosok mataku. Kakiku masih lagi melangkah. Laju sedikit.
Hati,
Teruskanlah berlari,
Janganlah terikat dengan gelapnya siang tanpa mentari,
Janganlah kerana sejuknya rasa, lumpuh tangan bagaikan digari,
Gagahkanlah diri terus mengharungi,
Bakarkanlah, nyalakanlah pelita di dalam diri,
Agar dirimu sentiasa dapat menerangi.
Spring dan summer,
Hampir-hampir sahaja diriku terbakar menyala,
Bak sinaran mentari yang gigih menerangi semua,
Kegelapan sedikit-sedikit dikalahkan cahaya,
Harapan yang pudar tidak segan lagi datang menerpa.
Putik-putik bunga mula menampakkan diri,
Rumput-rumput hijau tumbuh menghampari bumi,
Kicauan burung terbang berkejaran memeriahkan pagi,
Bisakah kita bermuram lagi?
“Apekehe jalan lambat sangat tu??!” jerit rakanku yang sudah berada jauh di hadapan. “Lecture radio nak start dah ni!” Tersenyum, kutarik nafas dalam-dalam dan terus berlari menuju pintu bangunan itu.
Ketika kita berasa susah menghadapi berbagai-bagai masalah dan ujian, bukan sekali diri terasa mahu berhenti; membiarkan masalah itu berlalu pergi meninggalkan kita. Mahu sahaja bersembunyi di bawah selimut, di dalam kotak.
Tetapi, sering kali kita terus berjalan malah bersalam-salaman dengan masalah tersebut kerana kita tahu, sesungguhnya, masalah tidak akan meninggalkan kita sekiranya kita tidak mengenali dan berjumpa dengan mereka. Kerana, dengan cara itu sahaja masalah dapat diselesaikan.
Teruslah, teruskan berjalan di bawah mentari, yang cahayanya membawa berjuta harapan.
“…….Ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat.” –Surah Al-Baqarah, 2:214
p/s: pharmaco monday, insyaAllah~ gugu~